Cemburukah Anak Sulung ku????


Semua ibubapa pasti akan melalui pengalaman anak sulung mereka merasa 'cemburu' dengan kehadiran seorang adik, cuma tahap cemburu dan cara perasaan itu ditunjukkan sahaja yang berbeza. Mungkin sesetengah ibubapa tidak perasaan(dek kerana sibuk dan gembira dengan kehadiran cahaya mata yg baru) kelahiran anak kedua menyebabkan emosi anak sulung terganggu dan berasa terpinggir. Hal ini terjadi kerana dia seperti hilang segala keistimewaan dan berasa tidak disayangi lagi, jadi dia selalu cuba mendapatkan perhatian dengan menyakitkan si adik.

Saya juga mengalami perkara yang sama dimana anak sulung saya Humaira menunjukkan sifat "cemburu" dan dalam masa yang sama menunjukkan sifat penyayang dan prihatin terhadap adiknya. Sejak dari sewaktu mengandung lagi saya telah mencuba pendekatan membiasakan Humaira akan kehadiran seorang adik. Setiap malam saya akan mengajak Humaira bercakap2 dengan bayi didalam kandungan, dan selalunya Humaira akan mengusap perut saya sambil menyebut "baby..baby". Tapi ada masanya(mungkin kerana geram), dia akan menampar perut saya sebelum kembali berbaring.

Semasa saya di hospital, saya ada menghantar mms gambar adiknya(Humaira tak dapat melawat sebab jarak K.Lipis dan Temerloh yg jauh) ke telefon kakakku dan ternyata sebaik sahaja dia melihat gambar tersebut dia begitu teruja dan tak sabar untuk berjumpa adiknya. Sebaik sahaja saya pulang kerumah, Humaira tidak berganjak sentiasa duduk dekat dengan adiknya, seolah2 tidak mahu berenggang, dan sentiasa ingin mencium seluruh muka adiknya. Tapi semua tu hanya bertahan untuk seminggu sahaja, mungkin kerana melihat mamanya sentiasa melayan adiknya, dia mula menunjukkan sifat seolah2 geram. Tanpa dijangka dia akan menampar adiknya.

Sebagai seorang ibu yang baru berhadapan dengan situasi sebegini memang pada mulanya terasa geram dan cepat nak marah, tapi bila melihat mukanya rasa tak sampai hati sebab tahu dia cuma inginkan perhatian sahaja. Selalunya tanpa disuruh Humaira akan sibuk mahu memandikan, pakaikan baju dan bedakkan adiknya, malah jika diminta ambilkan 'pampers' adiknya dia akan cepat2 ambilkan, sekiranya adiknya terjaga dari tidur atau menangis dia lah yang sibuk menepuk(dengan lembut) dan memujuk adiknya. Namun disebalik prihatin dan sayangnya kat si adik, bila dah geram dia tetap menampar malah mencakar kepala botak adiknya itu(kesian rifqi...mama masih tetap kena berjaga2 kalau tak luka la rifqi).

Sekarang ini dan hari2 yang seterusnya, saya masih belajar memahami Humaira, belajar mengatasi situasi ini dan mengajar serta mempersiapkan Humaira supaya menjadi seorang kakak yang penyayang dan bertanggungjawab. Tidak dinafikan ilmu keibubapaan itu amat penting dalam usaha memdidik dan membesarkan anak. Info dibawah ini sedikit sebanyak membantu saya dalam memahami situasi ini serta cuba belajar mengaplikasikannya.

Info

Pakar Perunding Pediatrik, Pusat Perubatan Kampung Baru, Dr Nor Aziah Shaari, berkata jika ibu terlalu memberi tumpuan kepada bayi yang baru lahir, anak sulung yang biasanya berusia antara dua hingga empat tahun memang mudah cemburu. Perasaan cemburu adalah masalah emosi yang lazim berlaku. Mereka berebut mendapatkan perhatian ibu bapa, kerana perhatian ditafsirkan sebagai kasih sayang,mereka juga mungkin bergaduh sesama sendiri atau mengganggu adik yang baru lahir kerana pada pandangan mereka adik yang baru lahir ini merampas kasih sayang ibu bapa, terutama kasih ibu, katanya. Anak sulung juga mungkin terlalu dimanjakan dan menyebabkan mereka begitu merasai perubahan perhatian dan kasih ibu bapa.

Ia memang menjengkelkan apatah lagi jika si kakak atau si abang cuba mendapat perhatian waktu si adik memerlukan tumpuan. Bagaimanapun, sebagai seorang ibu seharusnya jangan cepat marah, sebaliknya cuba fahami keadaan anak dan yang paling penting, persiapkan anak sulung sebelum kehadiran orang baru. Bagaimanapun dalam melayani bayi, keperluan anak sulung tidak boleh diabai. Mintalah bantuan suami atau ahli keluarga lain bagi memastikan anak sulung tidak rasa terpinggir dan diabaikan. Jika bayi tidur, ambil peluang itu untuk melayani si anak sulung.

Perlu diingat, mungkin juga si anak ini masih tidak tahu bagaimana melayani adik yang masih kecil, mereka perlu diberitahu berulang kali supaya tidak mengganggu bayi kerana sebagai kanak-kanak, mereka mungkin masih belum mengerti atau mungkin terlupa hakikat yang adik masih kecil dan belum boleh bermain seperti mereka. Nor Aziah berkata, anak sulung perlu diberitahu mengenai perlunya adik dilayani kerana dia masih kecil. Katakan juga, ibu melayani adik seperti mana ibu membelai abang atau kakak ketika bayi.

Bagaimana Menangani Cemburu?

Untuk menangani masalah cemburu, persediaan perlu sebelum bayi lahir. Abang atau kakak perlu disediakan untuk menghadapi saat-saat kelahiran adik baru. Ini dapat membantu mereka supaya lebih bersedia dan kurang mengalami tekanan perasaan.
~Bercakaplah dengan mereka mengenai bayi yang bakal lahir. Beri kesempatan untuknya menyentuh perut anda. Dia akan dapat merasa bagaimana bayi di dalam perut menendang dan bergerak. Buatlah persediaan menyambut bayi seperti membeli baju bersama-sama supaya debaran menyambut adik baru turut dirasainya.~Babitkan dia dengan tugas menjaga bayi dan berikan sokongan dan pengawasan. Jika mereka masih belum bersedia membantu anda dalam penjagaan bayi, jangan paksa mereka. Misalnya, jika menyalin lampin, minta dia ambilkan lampin. Jika sedang memandikan bayi, beri dia kesempatan menyabunkan kaki bayi. Atau minta dia ambilkan bantal untuk adik.~Awasi anak anda jika mereka bersama bayi yang baru lahir supaya perkara tidak diingini tidak berlaku, seperti menekup muka bayi dengan bantal, mendokong bayi dan pelbagai lagi.~Luangkan masa khusus untuk anak anda yang lebih tua, tanpa perhatian yang terbahagi, misalnya bermain dengannya sewaktu bayi tidur, membacakan buku atau bermain dengannya.~Ucapkan sayang kepada mereka supaya sentiasa berasa disayangi.~Dalam memberi perhatian kepada bayi, jangan abaikan perkembangan anak sulung.~Elakkan dari memberi komen berlebihan mengenai bayi sewaktu anak anda ada bersama-sama. Ini termasuklah komen dari anda atau pun keluarga dan kawan-kawan anda. ~Tunjukkan gambarnya sewaktu dia masih bayi dan ceritakan kepadanya bagaimana anda menjaga dia ketika masih bayi.~Jangan cepat marah kepadanya jika dia mencubit adik atau memeluknya dengan kuat. Beritahunya mengapa dia tidak boleh berbuat demikian.~Ketika bersendirian dengannya, galakkan dia bercakap mengenai perasaannya. Biarkan dia meluahkan isi hatinya sama ada dia marah atau cemburu. Beritahunya itu semua perasaan semula jadi dan ia tidak bermaksud dia jahat. Beritahunya perbuatan cuba menyebabkan kesakitan pada adik adalah salah.
~Jika dia agresif, jangan hukum atau malukan dia. Dia akan membalas dendam terhadap anda dengan mencederakan si adik. Beritahunya secara baik, tindakan itu tidak betul tetapi anda perlu lebih berhati-hati dan jangan tinggalkan dia dengan adiknya bersendirian.
Rujukan: http://e-kaunseling.umt.edu.my Anak sulung mudah cemburu oleh Hafizah Iszahanid - Berita Harian, 03 Ogos 2007
http://mforum.cari.com.my
http://forum.anakku.net.my

No comments:

Post a Comment