Anak2 usia 12 -18 bln suka mencuba.


ANAK-anak dalam usia 12 hingga 18 bulan suka mencuba sesuatu. Perkembangan dan kebolehan mereka begitu memberangsangkan. Ibu bapa boleh membantu meningkatkan kebolehan anak dengan memberi galakan dan menyediakan persekitaran serta pemakanan yang baik.

Semua ini bagaikan satu pelaburan untuk membentuk minda, kebolehan dan kebiasaan yang baik dalam diri anak hingga mereka besar kelak.

Menurut petua penjagaan Si manja yang dikeluarkan oleh Heinz Nutrition consultancy, usia antara 12 hingga 18 bulan anak telah boleh berjalan sendiri walaupun kadangkala meluru ke hadapan dengan cepat.

Mereka juga sudah ada keinginan untuk memanjat. ketika ini anak-anak memerlukan pengawasan rapi agar tidak melakukan sesuatu yang boleh membahayakan diri sendiri.

Mereka suka bermain dengan blok dan mampu meletakkan blok di atas satu dengan yang lain.

Dalam usia ini anak-anak kelihatan riang serta mampu bercakap sepatah dua perkataan yang dipelajarinya. Kebolehan mereka sungguh menghiburkan ibu bapa.

Anak-anak dalam usia ini gemar mencuba termasuklah makan sendiri, makanan yang sering kita makan tetapi dalam kuantiti yang kecil.

Sama ada ibu sedar ataupun tidak anak-anak dalam usia ini kelihatan susut berat badannya bagi membolehkan mereka banyak bergerak.

Kaki dan tangannya kini tumbuh lebih panjang jika dibandingkan dengan pertumbuhan bahagian badan yang lain.

Menjelang usia 18 bulan mereka sudah tegap berjalan malah mampu berlari.

Mereka juga berupaya menolak permainan atau objek yang ada di hadapan dan gemar memasuk atau mengeluarkan sesuatu barangan dari bekasnya.

Ketika ini juga mereka boleh bercakap dengan lebih jelas walaupun dengan bahasa bayinya.

Mereka suka memasukkan apa yang dijumpai ke dalam mulut. Mereka juga sudah pandai cerewet dan kadangkala sukar untuk memuaskan hatinya.

Dalam usia lebih setahun adalah waktu amat baik jika ibu mahu memberhentikan pemberian susu ibu.

Cuba dengan perlahan dan jangan lakukan serta- merta .

Bagaimanapun jangan sekat anak minum susu sebaliknya berilah mereka minum menggunakan cawan bayi dan beri makanan yang lebih pada waktu siang.

Cubalah suruh ayah menjaganya pada waktu malam pada minggu pertama mereka bercerai susu untuk mengurangkan mereka meminta susu ibu.

Barangkali sekali-sekala dalam tempoh bercerai susu cuba tinggalkan anak dengan ahli keluarga yang lain terutamanya ibu yang tidak bekerja bagi membiasakan anak dengan pemakanan biasa.

Sekiranya dia terlalu bergantung kepada penyusuan botol cuba galakkan dia minum dari cawan pada siang hari.

Bagaimanapun jangan paksa mereka sekiranya cara ini didapati menyusahkan mereka kerana sesetengah anak tidak dapat meninggalkan penyusuan botol hingga berusia dua tahun.

Anak dalam usia ini gemar meniru tingkah laku orang dewasa. Jadi anak perlu makan-makanan berkhasiat dan seimbang untuk tumbesarnya dan anda perlu menunjukkan teladan sekiranya ingin anak mengamalkan pemakanan sihat sejak usia awal.

Makanan yang boleh dihidangkan bersama makanan harian yang lain termasuklah makanan hasil tenusu seperti keju, yogurt dan kastad yang rendah lemak adalah baik untuk orang dewasa tetapi yang penuh krim elok untuk anak yang sedang membesar.

Berikan anak buah-buahan dan sayuran sekurang-kurangnya tiga hingga empat jenis sehari.

Begitu juga dengan beras dan bijirin yang lain.

Daging, ayam, ikan, telur dan kekacang juga sesuai diberikan kepada anak.

Cara menguruskan makan anak anda:

* Sesetengah anak dalam lingkungan usia 18 bulan hingga dua tahun akan memilih makanan atau tidak sukakan sesetengah makanan mereka. Jangan gantikan makanan tersebut dengan snek yang tidak sihat.

* Jika mereka enggan makan, biarkan saja sehingga mereka lapar, selepas hatinya tenang dan lapar mereka akan teruskan makan.

Menyelesaikan masalah anak yang pilih makan:

* Berikan stimulasi kepada anak dengan mendedahkan mereka kepada udara yang bersih, senaman serta corak tidur yang mengalakkan.

* Catatkan jumlah cecair yang diambil oleh anak setiap hari kerana terlalu banyak minum mungkin menjejaskan pemakanan.

* Pastikan anak makan-makanan berkualiti dan bukan kuantiti kerana anak memerlukan sedikit makanan sahaja.

Ketika memberi anak makan, padamkan televisyen atau radio agar anak menumpukan perhatian kepada makanan.

* Jika dia mahu makan sendiri, galakan anak makan sendiri.

Harus diingat bahawa makanan yang diberikan hari ini akan mencorakkan pemakanannya di masa depan jadi adalah penting untuk belajar pemakanan sihat hari ini untuk masa hadapannya.

Sumber : http://mforum2.cari.com.my/archiver/?tid-209317.html

No comments:

Post a Comment