Adab - adab Berdoa


Antara adab berdoa yang perlu dijaga untuk mendapat doa yang maqbul ialah :

1. Berdoa dengan penuh keikhlasan kepada Allah .

FirmanNya dalam surah al-Bayyinah ayat ke 5 :

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ وَذَلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ
“ Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Deen yang benar.”

2. Memulakan dengan pujian kepada Allah , diikuti dengan salawat ke atas Nabi saw.

Sekurang-kurang kalimah pujian kepada Allah adalah:

الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

Sekurang-kurang salawat pula ialah dengan mengucapkan :
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ

3. Menutup Doa dengan Pujian kepada Allah dan salawat kepada Nabi saw juga.
Dalam sebuah hadith Nabi saw menyebutkan :

من تعار من الليل فقال : لا إله إلا الله وحده لا شريك له ، له الملك وله الحمد وهو على كل شيء قدير ، الحمد لله و سبحان الله ولا إله إلا الله و الله أكبر ولا حول ولا قوة إلا بالله ، ثم قال : اللهم اغفرلي أو دعا استجيب له ، فإن توضأ وصلى قبلت صلاته .
Maksudnya : Sesiapa yang bangkit dan berzikir pada waktu malam dengan menyebut La ilahaillaLLah wahdahu la syarika lah , Lahul mulku wa lahul hamd , wahuwa ala kulli syai’in qadir , alhamdulilLah wa subhanalLah wala ila ha illalLah walLahu akbar wal haula wal quwwata illa bilLah , kemudian berkata Ya Allah ampunkanlah bagiku ,maka akan dimustajabkan doanya . Jika dia berwudhu` dan bersolat maka akan diterima solatnya. 

Al-Imam an-Nawawi berkata : para ulama’ telah bersepakat ( ijma’) bahawa sunat doa itu dimulai dengan kalimah memuji Allah swt , kemudian mengucapkan salawat kepada Nabi saw . Demikian juga penutup doa , diakhiri dengan pujian dan salawat .

Kelebihan Bersalawat
Bersalawat kepada Nabi s.a.w bermaksud …

Sebaik-baik salawat yang diucapkan adalah apa yang dianjurkan oleh Nabi s.a.w. Para sahabat pernah bertanya kepada Nabi s.a.w tentang cara bersalawat ke atas baginda, lalu baginda s.a.w menjawab, katakan :

اللَّـهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَ أَزْوَاجِهِ وَ ذُرِّيتِهِ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبرَاهِيمَ ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَ أَزْوَاجِهِ وَ ذُرِّيتِهِ كَمَابَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبرَاهِيمَ ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ .

Antara kelebihannya menurut hadith-hadith yang dikumpulkan dalam kitab Syarh al-Baqiyyat al-Salihat oleh Ibn Uqlisyi al-Andalusiy adalah seperti berikut :

1. Mendapat syafaat Nabi s.a.w
Nani s.a.w bersabda yang bermaksud : “Orang yang paling hamper denganku pada hari akhirat adalah orang yang paling banyak bersalawat ke atasku di dunia.( HR al-Tirmizi, al-Bazzar dan Ibn Hibban dalam Sahihnya)

2. Mendapat rahmat daripada Allah dilipatgandakan sebanyak sepuluh kali dengan sekali salawat.

3. Mendapat keampunan dosa.
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ahmad dalam Musnadnya, Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : “Sesiapa yang bersalawat ke atasku sekali, maka akan dituliskan baginya 10 kebaikan , dihapuskan darinya 10 kejahatan dan ditinggikan kepada 10 darjat, dan diperlihatkan kepadaku amalannya itu dan dikurniakan kepadanya sama dengan apa yang dimintakan itu”.

4. Mendapat doa malaikat.

5. Ditinggikan darjatnya di sisi Allah.

6. Dapat berhubung secara langsung dengan Nabi kerana setiap salam yang diucapkan itu terus sampai kepada Nabi.

7. Menyebabkan doa dimakbulkan oleh Allah.

8. Membersihkan hati.

Dalam sebuah hadith riwayat Ahmad, al-Tirmizi dan al-Nasa`ei, Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : “Bersalawatlah kamu ke atasku kerana salawat kamu itu membersihkan kamu dan mohonlah kepada Allah agar mengurniakan kepadaku al-Wasilah”.

9. Mendapat pelindungan pada hari akhirat.

10. Terselamat dari sikap bahkil.
Nabi s.a.w bersabda maksudnya : “ Orang yang bakhil adalah seseorang yang bila disebut namaku, dia tidak bersalawat ke atasku”



4. Membaca doa yang pernah dibaca oleh Nabi Yunus ketika berada dalam perut ikan Nun.Doa ini wajar diamalkan kerana ia mengandungi maksud pengabdian diri kepada Allah, pengertian penyesalan atas kelemahan diri dan permohonan mendapat rahmatNya.

Doa ini merupakan firman Allah dalam surah al-Anbiya` ayat ke 87 iaitu :

لاَ إِلَهَ إِلاَ أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنْ الظَّالِمِينَ
Maksudnya : "Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri".

5. Bersungguh-sungguh ketika berdoa , menghadirkan hati dan meyakinkan diri pada penerimaannya oleh Allah swt . Hal ini berdasarkan sebuah hadith :

أدعو الله وأنتم موقنون بالإجَابةِ ، و اعلموا أن الله لا يستجيب دعاء من قلب غافل لاهٍ
Maksudnya : “Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan yakin akan dimakbulkan olehNya , ketahuilah bahawa Allah tidak akan mengkabulkan doa dari hati yang lalai dan lengah”.

6. Berdoa dengan khusyu’ , tadharru’ , disertai perasaan Rahbah dan Raghbat .
Firman Allah swt dalam surah al-Anbiya` ayat ke 90 :

فَاسْتَجَبْنَا لَهُ وَوَهَبْنَا لَهُ يَحْيَى وَأَصْلَحْنَا لَهُ زَوْجَهُ إِنَّهُمْ كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا وَكَانُوا لَنَا خَاشِعِينَ
Maka Kami perkenankan doanya, dan Kami kurniakan kepadanya (anaknya) Yahya, dan Kami perelokkan keadaan isterinya yang mandul, (untuk melahirkan anak) baginya. (Kami limpahkan berbagai ihsan kepada Rasul-rasul itu ialah kerana) sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami.

7. Berdoa dengan penuh pengharapan dan mengangkat ke dua tangan . Dalilnya
Rasulullah saw bersabda,

"لا يقولن أحدكم اللّهم اغفرلي وارحمني ان شئت ، ارزقني شئت ، وليعزم مسألته ، إنه يفعل ما يشاء لا مكره له"
“Jangan ada dikalangan kamu yang berdoa, ‘Ya Allah, ampunkanlah dosaku dan rahmatilah aku sekiranya Engkau mahu. Berikanlah rezeki kepadaku sekiranya Engkau mahu” tetapi mohonlah dengan penuh kesungguhan. Sekiranya Dia melakukan apa yang Dia mahu, tidak ada seorang hamba pun yang boleh memaksaNya”

Nabi saw bersabda :
إن ربكم تبارك و تعالى حيي كريم ، يستحيي من عبده
إذا رفع يديه إليه أن يردهما صفرا
Maksudnya : Sesungguhnya Tuhan kamu yang maha suci lagi maha tinggi itu sangat pemalu lagi mulia . Dia malu terhadap hambaNya yang mengangkat tangannya berdoa , tiba-tiba tak diberinya permintaannya itu .

8. Berdoa dengan sabar menanti Dimakbulkan Allah . Sikap terburu-buru mengakibatkan Doa ditolak .Dalilnya ialah

يسنجاب لأحدكم ما لم يعجل ، فيقول : قد دعوت فلم يستجب لي
Maksudnya : Dikabulkan doa seseorang dari kalian selama dia tidak terburu-buru, dia berkata : “Aku sudah berdoa , tapi Allah tidak mengabulkannya .

9. Sentiasa berdoa dalam apa jua situasi samada ketika senang atau susah. Perkara ini berdasarkan firman Allah swt dalam surah al-Anbiya` ayat 60 :

وَإِذَا مَسَّكُمْ الضُّرُّ فِي الْبَحْرِ ضَلَّ مَنْ تَدْعُونَ إِلَّا إِيَّاهُ فَلَمَّا نَجَّاكُمْ إِلَى الْبَرِّ أَعْرَضْتُمْ وَكَانَ الْإِنْسَانُ كَفُورًا
Maksudnya : Dan apabila kamu terkena bahaya di laut, (pada saat itu) hilang lenyaplah (dari ingatan kamu) makhluk-makhluk yang kamu seru selain dari Allah; maka apabila Allah selamatkan kamu ke darat, kamu berpaling tadah (tidak mengingatiNya); dan memanglah manusia itu sentiasa kufur (akan nikmat-nikmat Allah).

10. Tidak berdoa tentang keburukan, seperti kecelakaan dan memutuskan silaturrahim. Nabi saw bersabda :

لا يزال يستجاب للعبد ما لم يدع بإثم أَو قطِيعة رحم ...
Maksudnya : Doa seseorang hamba akan sentiasa dikabulkan selama dia tidak berdoa untuk berbuat dosa atau memutuskan silaturrahim.

11. Tidak berdoa pada tempat maksiat.

12. Merendahkan suara , kerana Allah berfirman dalam surah al-A’raf ayat 205 :

وَاذْكُرْ رَبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنْ الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ وَلَا تَكُنْ مِنْ الْغَافِلِينَ
Maksudnya : Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai.

Allah swt juga berfirman dalam Surah Al-Israa’, ayat 110:

وَلَا تَجْهَرْ بِصَلَاتِكَ وَلَا تُخَافِتْ بِهَا وَابْتَغِ بَيْنَ ذَلِكَ سَبِيلًا
“Dan janganlah kamu memperkuatkan suara ketika kamu berdoa dan janganlah pula memperlahankannya sangat, tetapi carilah jalan pertengahan antara kedua-duanya”

13. Berdoa dengan mengucapkan Ya Rabb sebanyak 3 kali . Diriwayatkan daripada Atha` ra , beliau berkata , tidaklah seseorang hamba mengatakan Ya Rabb sebanyak tiga kali , melainkan Allah akan mendengar permintaannya . Al-Imam Malik pernah ditanya tentang panggilan kepada Allah dalam Doa , wajar atau tidak diseru dengan nama ‘Sayyid’ , jawab beliau katalah : Ya Rabb , kerana itulah panggilan para Nabi as kepada Allah dalam munajat mereka.

14. Doa juga perlu selalu diulang-ulang. Baginda selalunya mengulangi satu-satu doa sebanyak tiga kali.
Sebagai contohnya Nabi saw membacakan doa di bawah 3 kali pada setiap petang :

أعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّـهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ
Maksudnya : Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna , dari kejahatan sesutau yang diciptakan .

15. Mengadap ke arah kiblat . Dalilnya ialah Ubbad bin Tamim meriwayatkan daripada bapa saudaranya, iaitu Abdullah bin Zaid bin Asim Al-Maziniy, katanya yang bermaksud :
“Aku melihat Rasulullah SAW pada hari beliau keluar untuk memohon kepada Allah agar diturunkan hujan. Baginda membelakangkan dirinya ke arah orang ramai dan mengadap kiblat. Kemudian baginda mengalihkan selendangnya, seterusnya mengerjakan solat dua rakaat dengan bacaan yang kuat pada setiap rakaat” .

16. Mengangkat ke dua belah tangan semasa berdoa kerana berdasarkan dalil :
Anas bin Malik meriwayatkan, pernah berlaku di zaman Rasulullah musim kemarau. Dikala baginda sedang berkhutbah di atas mimbar pada hari Jumaat, seorang Arab Badwi bangkit, lalu bertanya, “Wahai Rasulullah, segala harta benda telah musnah. Seluruh ahli keluarga juga kelaparan. Berdoalah kepada Allah untuk kami agar Allah turunkan hujan”

Baginda lalu menangkat kedua belah tangan baginda, sedangkan dikala itu tidak ternampak tompokan-tompokan awan. Tiba-tiba awan seumpama built berarak. Baginda masih lagi tidak turun dari mimbar, hinggalah kami melihat hujan mula menitis membasahi janggutnya.

Seharian itu kami ditimpa hujan. Begitu juga keesokannya, dan hari selepasnya, hinggalah tiba hari Jumaat seterusnya. Pada hari itu, bangun lagi Arab Badwi tempohari lalu berkata, “Seluruh bangunan telah runtuh, harta juga telah ditenggelami air. Oleh itu, berdoalah kepada Allah untuk kami, wahai Rasulullah”.
Baginda lalu menadah tangan ke langit, lalu berdoa,

"اللّهم حوالينا ولا علينا"
“Ya Allah, berilah manfaat kepada kami, dan janganlah jadikannya musibah kepada kami”

17. Berdoa dalam keadaan Berwudhuk . Buktinya ialah Abu Musa meriwayatkan, tatkala selesai berperang di Hunain, Nabi SAW mengutuskan Abu ‘Aamir bersama sepasukan tentera ke sebuah tempat. Abu Musa juga pergi mengiringi Abu ‘Aamir. Di sana Abu ‘Aamir telah terkena panah di lututnya. Abu ‘Aamir mengarahkan Abu Musa mencabut panah tersebut dari lututnya. Apabila beliau mencabutnya, dilihat Abu ‘Aamir kesakitan.

Abu ‘Aamir lalu berkata kepada Abu Musa: “Wahai anakku, sampaikanlah salamku kepada baginda SAW dan sebutkanlah kepada baginda, mudah-mudahan baginda memohon keampunan daripada Allah untuk segala dosaku”

Abu ‘Aamir seterusnya melantik Abu Musa untuk menggantikan beliau menjadi ketua pasukan. Tidak lama kemudian Abu ‘Aamir meninggal dunia. Abu Musa kembali ke Madinah dan menyampaikan pesanan terakhir Abu ‘Aamir.

Baginda lalu meminta air dari khadamnya dan berwudhu’. Kemudian baginda menadah tangan ke langit lalu berdoa, :
"اللّهم اغفرلنا لعبيد أبي عامراللّهم اجعله يوم القيامة
فوق كثير من خلقك من الناس"
“Ya Allah! Ampunkanlah dosa-dosa Ubaid Abu ‘Aamir, “Ya Allah, jadikanlah dia pada hari Kiamat di martabat yang lebih tinggi berbanding segala makhlukMu didunia”

Abu Musa menceritakan, ketika itu beliau melihat putih ketiak baginda ketika mengangkat tangan berdoa.
Hadis di atas menunjukkan baginda berwudhu’ terlebih dahulu sebelum berdoa kepada Allah, kerana wudhu’ menjadikan kita taqarrub kepada Allah.

18. Mengakui dosa yang dibuat , menyesalinya dan bertaubat serta beristighfar kepada Allah
Dalilnya ialah , Nabi Allah Adam as dan Hawa diuji dengan perintah agar jangan mendekati satu pohon di dalam syurga. Firman Allah Ta’ala dalam surah al-Baqarah ayat 35 ,

وَلا تَقْرَبَا هَذِهِ الشَّجَرَةَ فَتَكُونَا مِنَ الظَّالِمِينَ
“Dan janganlah kamu mendekati pohon ini, tentu kamu tergolong dikalangan orang-orang yang zalim”
Tetapi akibat terpedaya dengan godaan syaitan, kedua-dua mereka akhirnya terkeluar dari syurga Allah. 

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 36 , 

فَأَزَلَّهُمَا الشَّيْطَانُ عَنْهَا فَأَخْرَجَهُمَا مِمَّا كَانَا فِيهِ
“Lalu syaitan telah menggelincirkan mereka berdua daripada syurga. Justeru, terkeluarlah mereka berdua dari segala nikmat yang mereka kecapi”

Sebagai hukuman, Allah telah telah mengeluarkan Nabi Adam as dan Hawa dari syurga dan ditempatkan di bumi. Nabi Adam as lantas memohon keampunan daripada Allah, sebagaimana yang telah diceritakan oleh Allah di dalam firmanNya menerusi Surah Al-A’raf, ayat 23,

قَالَا رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ
“Mereka berdua telah berkata, “Wahai Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri. Sekiranya Kamu tidak ampunkan dosa kami, dan mengasihani kami, nescaya kami tergolong di kalangan orang-orang yang rugi”

Selain itu Allah juga mengajar kita untuk bertaubat daripada dosa menerusi kisah Nabi Yunus as yang bertaubat kepada Allah kerana melarikan diri dari tanggungjawab berdakwah.Baginda akhirnya telah ditelan oleh ikan selepas undian jatuh pada baginda. Firman Allah dalam surah al-Anbiya`ayat 87-88

وَذَا النُّونِ إِذْ ذَهَبَ مُغَاضِبًا فَظَنَّ أَنْ لَنْ نَقْدِرَ عَلَيْهِ فَنَادَى فِي الظُّلُمَاتِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ ( 87 ) فَاسْتَجَبْنَا لَهُ وَنَجَّيْنَاهُ مِنَ الْغَمِّ وَكَذَلِكَ نُنْجِي الْمُؤْمِنِينَ
“Dan orang yang berada di dalam perut ikan Nun (Nabi Yunus), ketika dia berlalu di dalam keadaan marah, lalu mengira Kami tidak berkuasa ke atasnya. Dia menyeru di dalam keadaan gelap gelita, “Tiada Tuhan yang layak diabdikan diri melainkan Kamu. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku tergolong dikalangan orang-orang yang zalim”. Lalu Kami meneria seruannya, dan Kami selamatkannya dari kesusahan. Demikianlah Kami menyelamatkan orang-orang yang beriman”

Sumber : FB Ustaz Zahazan Mohamed

No comments:

Post a Comment