Tanggungjawab Ibu Bapa Terhadap Anak-anak dalam Islam


  1.  Menjaganya semenjak bayi di dalam rahim ibu. Islam tidak hanya menjaga anak selepas ia keluar tetapi sebelum itu lagi dan perkara ini dapat dilakukan dengan cara :-

    •  Memilih isteri yang sesuai dan baik kerana perkara ini penting untuk dapatkan zuriat yang baik sampailah ke hari mati.

      Nabi s.a.w. ada bersabda:

      (تخيَّروا لنطفكم)[1]

      Maksud: Pilihlah isteri yang sesuai untuk benih-benih kamu (anak-anak).
      Diriwayatkan ada seorang datang kepada Saidina Umar menceritakan keburukan perangai anaknya lalu Saidina Umar r.a. memanggil anaknya dan mengingatkannya tentang besarnya dosa menderhaka ibubapa. Si anak tadi bertanya Saidina Umar : “Tidakkah anak juga ada hak ke atas ibubapanya”? Jawab Umar : Ya! Anak itu tanya : “Apakah dia hak-hak mereka”? Saidina Umar menjawab hak-hak anak ialah : “Hendaklah si bapa memilih ibu yang solehah, memberi nama yang baik untuk anaknya dan mengajarnya Al-Quran. Si anak terus jawab selepas itu : “Dia tidak membuat satu pun daripada 3 perkara itu. Yang pertama dia tidak pilih isteri yang baik, ibuku seorang Negro (زنجيه) hamba kepada seorang majusi. Kedua dia menamakanku Ja'lun (Ja'ranun). Ketiga dia tak mengajarku satu huruf pun daripada Al-Quran”. Saidina Umar r.a. pun berkata : “Adakah kamu datang untuk mengadukan kepadaku kederhakaan anakmu........ kamu yang telah menderhakainya sebelum dia menderhakaimu”.

      - Usman b. Abi - Al 'Ash juga ada berkata kepada anak-anaknya : Aku telah memuliakan kamu semua dengan ibu-ibu kamu yang mulia, orang yang nikah itu adalah petani, maka hendaklah seseorang petani itu memastikan tempat dia meletak tanamannya.

      Jika dia berjaya berbuat demikian sesungguhnya dia telah berjaya mendidik anaknya 20 tahun atau lebih sebelum anak itu dilahirkan lagi. Seorang ahli bijaksana ada berkata : Mulakanlah tarbiyyah anakmu 20 tahun sebelum anak itu dilahirkan.


    •  Menjaga kesihatan ibu yang hamil :
      Ini termasuk menjaga makan minumnya supaya dapat menjaga kesihatan bayi. Semua yang baik dan buruk akan memberi kesan pada anak itu. Juga menjaga hubungan dengan isteri yang hamil itu supaya dia tidak terasa sakit hati. Ibu juga dinasihatkan tidak mengambil makanan yang memudharatkan semasa mengandung seperti merokok, minum arak dan lain-lain.

      Terdapat banyak bukti menunjukkan kesan-kesan sampingan yang dahsyat pada anak-anak yang dilahirkan oleh ibu-ibu yang memakan bahan-bahan yang merosakkan itu seperti yang tercatat dalam kajian-kajian yang dijelaskan.

      Tekanan perasaan, sakit jiwa dan spiritual anak banyak dipengaruhi oleh suasana semasa ia berada dalam kandungan dan semasa ia menyusu. Seorang ahli perubatan Perancis mengatakan tindak-tanduk anak selalu dipengaruhi oleh keadaannya semasa 5 tahun pertama hidup di dunia. Kajian juga menunjukkan seseorang yang sakit jiwa selalunya telah terdedah kepada unsur-unsur negatif di zaman kanak-kanaknya.

      Realiti ini berkaitan rapat dengan tempoh hidup kanak-kanak yang pertama (5 tahun pertama) semenjak dilahirkan termasuk tempoh dia berada dalam kandungannya.


    •   Menjaga hak harta pesaka bayi.
      Jika bapanya mati, maka harta yang ditinggalkan tidak boleh dibahagikan sampai bayi itu dilahirkan supaya masa depannya terpelihara. Jika dibahagikan juga, maka hendaklah dikhaskan sebahagian yang tertentu untuk diberi kepada bayi itu bergantung kepada jantinanya. Sekiranya anak yang dilahirkan itu tidak tepat seperti yang dijangkakan, maka hendaklah diberikan yang baki yang merupakan haknya atau hendaklah dipotong sebahagiannya.


    •   Menjaga kesihatan janin.
      Islam meringankan beberapa perkara ke atas wanita hamil untuk memudahkannya. Sebagai contoh wanita hamil dibolehkan berbuka puasa.



    • Islam juga mengenakan hukuman yang berat ke atas pembunuh anak walaupun ianya masih lagi janin seperti di dalam hadith :

      [في الجنين غرّة عبد أو وليدة) [2)

      Maksud: Dalam membunuh janin wajib kifarah (denda) hamba lelaki atau perempuan.

      Begitu juga perempuan hamil kerana zina tidak dikenakan hukuman hudud atasnya sehingga dia melahirkan anak. Inilah yang dilakukan oleh Rasulullah (s.a.w.) kepada perempuan Al-Ghamidiyyah yang berzina, Baginda melewatkan hukuman ke atasnya sehingga dia melahir dan kemudian menyusukan anaknya.


  2. Menjaga anak selepas kelahirannya

    • Menjaga nasabnya
      Iaitu si anak layak dinasabkan kepada ayahnya selepas dilahirkan. Nasab yang dimaksudkan ialah 'bin' anak itu. Anak yang dilahirkan mesti di 'bin' kan kepada ayahnya. Anak-anak ayahnya yang lain adalah adik-beradiknya.

      Anak zina tidak boleh di'bin'kan kepada lelaki yang berzina dengan emaknya walaupun ada ikatan darah daging antaranya dengan anak zina itu. Ini kerana syara' tidak mengiktiraf perbuatan terkutuk itu sebagai cara mendapatkan anak. Anak zina tidak layak mendapat harta ayah zinanya dan juga tidak berhak mewarisi harta ayahnya itu.

      Nasab itu juga sabit dengan cara tidur sekali bagi suami isteri. Ini kerana anak itu adalah hasil perkahwinan antara lelaki dan perempuan itu (jika dilahirkan dalam tempoh yang sedia diketahui dalam Islam)

      Di antara hak anak juga untuk mengetahui saudara-maranya dan kaum kerabatnya. Budaya hidup dengan maksiat seperti yang berleluasa di negara-negara barat dan falsafah Karl Marx yang mengajak dan menyeru kepada hidup bebas tidak mengenal hak ini. Falsafah-falsafah seperti inilah yang melahirkan generasi yang tidak kenal bapa mereka. Merekalah yang di hina dan dicaci dalam masyarakat disebabkan ketiadaan bapa yang dapat melindungi mereka. Tempat-tempat penjagaan seperti tadika, nurseri dan sebagainya tidak akan dapat memainkan peranan sebuah keluarga yang dipimpin oleh seorang ayah yang dicurahkan kasih sayang oleh seorang ibu.

      Memandangkan kepentingan keturunan inilah, Islam meminta seseorang muslim untuk memastikan kesahihan nasabnya dan Saidina Umar r.a. ada berkata : Pelajarilah ilmu nasab kerana ia merapatkan hubungan kekeluargaan antara kamu.

    •  Memberi nama yang baik :
      Itulah hak-hak anak-anak ke atas bapa-bapa. Bapa hendaklah memberi nama yang baik kerana Rasulullah ada bersabda :

      (إنكم يوم القيامة تدعون بأسمائكم،وأسماء آبائكم،فأحسنوا أسماءكم)[3]

      Maksud: Kamu akan di seru Hari Qiamat dengan nama-nama kamu dan nama bapa kamu, maka perelokkanlah nama kamu.

      Nama yang buruk yang menjadi ejekkan pada orang lain perlu dielakkan. Nama sebenarnya memberi kesan pada jiwa anak-anak itu sendiri. Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah lalu bertanya : Apakah hak anakku ini, jawab Baginda : Berilah nama yang baik kepadanya, ajarlah ia akhlak yang baik dan letakkanlah dia di tempat yang baik. Di dalam hadith disebut, sebaik-baik nama adalah nama yang menyembah dan menyucikan Allah . Sebagai contoh satu hadith dari Ibnu Umar r.anhuma :

      (إن أحب اسمائكم الى الله عز وجل:عبد الله،وعبد الرحمن)[4]

      Maksud : Sebaik-baik nama kamu di sisi Allah ialah Abdullah dan Ab. Rahman.

      Al-Mawardi mensyaratkan nama yang baik itu mestilah ada 3 perkara :-
      1.   Nama ibu adalah nama orang-orang soleh.
      2. Hurufnya pendek, senang disebut dan mudah. 
      3. Sesuai dengan tuan punya nama sendiri.

      Dengan sebab itulah kita lihat Nabi sering mengubah nama-nama sahabatnya yang kurang elok daripada segi makna. Anak Saidina Umar R.A yang bernama 'Asiah' (آسية) ditukar oleh Nabi kepada Jamilah (جميلة) kerana nama yang pertama tadi maknanya orang yang berbuat maksiat. Nabi juga mengubah nama seorang yang bernama Hazen (حزن) yang bererti duka kepada Sahal (سهل) yang bermakna mudah. Hazen tadi tidak setuju dengan perubahan itu dengan alasan tidak mahu mengubah nama yang diletakkan oleh bapanya lalu berkekalanlah sifat duka padanya selepas itu. Demikianlah riwayat Said bin Al-Musayyib.

      Nama menggambarkan apa yang ada dalam naluri seseorang. Ia juga memberitahu cara pemikiran seseorang dan ia akan kekal sampai matinya. Dengan sebab itulah Islam meminta menamakan dengan nama yang baik.

      Pada hari ini kita lihat banyak nama diambil dari nama-nama yang di import di mana kebanyakkannya mempunyai makna kurang baik.

    • Hak anak untuk menyusu :
      Menjadi tanggungjawab bapa menyediakan penyusu bagi si anak dalam tempoh 2 tahun. Firman Allah :

      (وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلاَدَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ [5] لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ)


      Maksud: Dan ibu-ibu yang melahirkan anak-anak, menyusukan anak-anak mereka 2 tahun bagi yang ingin menyusukan.

      Walaupun jumhur ulama' berpendapat ibu tidak wajib menyusukan anaknya secara hukuman tetapi perbuatan itu dianggap berdosa jika ditinggalkan. Penyusuan ibu anak itu sendiri lebih memberi faedah pada anaknya berbanding dengan perempuan yang lain. Saya cenderung untuk menghukum ibu wajib menyusukan anaknya.

    • Haknya untuk dapat penjagaan.
      Sekiranya ibu tidak mampu menjaga anak itu, si bapa hendaklah mencari perempuan lain yang dapat mengganti si ibu. Pengganti itu hendaklah seorang yang beragama, berakhlak dan menepati syarat-syarat yang diletakkan oleh Islam.

    • Hak mendapat perbelanjaan. (nafkah sara hidup).
      Wajib atas bapa membelanjakan untuk anak-anak mereka selagi mereka tidak memiliki wang sendiri. Bagi anak lelaki, tanggungjawab bapanya berterusan sehingga dia bekerja dan bagi anak perempuan sampai berkahwin. Jika bapa tidak melaksanakan perkara yang di pertanggungjawabkan ke atasnya ini berdosalah dia berdasarkan hadith Nabi S.A.W :

      (كفى بالمرء إثمًا أن يضيّع من يقوت)[6]

      Maksud: “Cukuplah seseorang itu berdosa jika dia meninggalkan memberi makan yang di bawah jagaannya”.

      Disebabkan manusia lebih suka anak lelaki, maka Nabi telah mewasiatkan untuk menjaga anak perempuan dengan baik. Sabda Nabi S.A.W :-

      من عال جاريتين دخلت أنا وهو الجنة كهاتين،وأشار باصبعيه: السبابة، والتي تليها)[7

      Maksudnya : Sesiapa yang menjaga 2 orang anak perempuan (dengan baik) nescaya akan masuk syurga. Aku dan dia seperti ini dan menunjuk 2 jarinya jari telunjuk dan jari tengah.

      Bapa perlu membelanjakan untuk anak-anaknya. Kalau tiada ayah, maka datuk atau yang lain yang bertanggungjawab melaksanakan tanggungjawab itu. Hendaklah pihak yang bertanggungjawab itu berusaha menjadikan mata pencariannya daripada yang halal supaya ALLAH MEMBERKATI REZEKINYA ITU.

    • Haknya untuk belajar.
      Penting bagi bapa mengajar dan mendidik anak-anaknya dengan cara tarbiyyah yang betul supaya dia tidak rugi di dunia dan akhirat. Antara perkara penting yang mesti dititik beratkan dalam tarbiyyah ialah memahamkan anak tentang tauhid yang betul, cara-cara ibadat, di samping mengajar mereka akhlak, cara-cara berurusan juga mengajar mereka yang halal dan haram.

      Perkara-perkara ini penting bagi mewujudkan kesedaran pada anak tentang keperluan dan tujuan hidup untuk mencapai redha Allah. Mendidik dan mengajar ilmu adalah wajib atas ibubapa kerana ilmu penting dalam kehidupan anak tadi.

      Akhir sekali ada beberapa hak yang lain yang perlu juga ditunaikan berbentuk hukum-hakam seperti sunat menggembirakan seorang yang akan dikurniakan anak, ucapkan tahniah bagi yang dikurniakan anak, sunat Tahniq تحنيك ) (untuk anak yang baru dilahirkan (memberi makan bahan yang manis). Banyak lagi perkara yang serupa yang sudah di ketahui oleh para pembaca..... Bagi yang berminat bolehlah membaca kitab Tuhfatul-Maudud Fi Ahkamil Maulud ((تحفة المودود في أحكام المولود)) oleh Ibnu Qayy'm Al-Jauziyyah.
  3.  
    Sekiranya semua ini dilaksanakan sepenuhnya, tentulah generasi yang bakal dilahirkan akan dapat menyelesaikan masalah-masalah. Saya katakan di sini : Lihatlah Islam telah mengiktirafkan kedudukan anak semenjak 15 kurun yang lalu sedangkan di Barat, mereka hanyalah mengambil berat tentang kanak-kanak pada awal kurun ini dengan pelbagai undang-undang yang diwujudkan. PBB berjaya mengadakan undang-undang untuk melindungi kanak-kanak pada tahun 1959. 
    Undang-undang ini diwujudkan berikutan usaha-usaha untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Undang-undang ini menitikberat masalah-masalah kesihatan, pendidikan untuk melatih kebolehan dan kemahirannya, keperluan untuk pendidikan agama, berakhlak dengan nilai-nilai yang tinggi dan hak untuk menikmati semua peluang yang ada dan untuk melakukan hobinya.Apa yang ada dalam undang-undang ini boleh dikatakan sebahagian kecil dari hak-hak yang dianugerahkan oleh Islam untuk anak-anak.


[1] Diriwayatkan oleh Ibn Maajah
[2] Muttafaqun Alaih.
[3] Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ahmad.
[4] Diriwayatkan oleh Muslim. 
[5] Surah Al-Baqarah : 233. 
[6] Diriwayatkan oleh Ahmad,Abu Daud,Hakim dan Baihaqie.
[7] Diriwayatkan oleh Muslim.

Sumber : FB Ustaz Zahazan Mohamed

5 comments:

  1. terima kasih. Amat bermanfaat untuk semua. :)

    ReplyDelete
  2. umur 18 ke 21 ibu bapa boleh melepaskan tanggungjawap mereka contohnya memberikan kebebasan terhadap anak-anak mereka?????? umur berapa huh????

    ReplyDelete
  3. umur 18 ke 21 ibu bapa boleh melepaskan tanggungjawap mereka contohnya memberikan kebebasan terhadap anak-anak mereka?????? umur berapa huh????

    ReplyDelete