Drama Bicara hati episod 13 : Babak lipas


Dari awal drama ni mula bersiaran lagi, ramai yang beri komen tak sabar nak tunggu babak lipas.

Semalam dalam episod 13 Drama Bicara hati ada la scene lipas tu. Tapi bagi saya antara scene drama dan babak dalam novel, saya lagi suka versi Novel.

Pendapat korang yang dah baca novel dan memang mengikuti drama ni , untuk babak yang ada lipas tu korang suka versi novel atau versi drama?

Untuk tengok Babak lipas dalam drama bicara hati semalam boleh tengok kat sini. Untuk versi novel pulak boleh baca kat bawah ni:





Bab 40

SUDAH seminggu Villa Sakura tidak berpenghuni.Tengku Ismail dan Tengku Badariah sudah berangkat ke luar negara.Begitu juga dengan Tengku Hakimi, Sofea dan Tengku Murni.Tengku Hafizah dan Tengku Farhana pun tiada di rumah.Hanya kedengaran bunyi air terjun buatan di tepi taman mini.

Tengku Syahran masuk ke bilik selepas pulang dari pejabat.Ketika itu, Zahlia leka menyisir rambutnya di hadapan cermin.Kelibat Tengku Syahran tidak langsung menarik perhatian Zahlia.
Pelukan Raja Khalida beberapa hari yang lalu bagaikan masih terasa.Segala-galanya masih menjadi rahsia.Suaminya tidak ditegur.Apatah lagi mahu membiarkan matanya memandang wajah lelaki itu.Keperitan tamparan bersama ungkapan pedih itu masih terasa di sanubari Zahlia.Tidak mudah dapat dilupakan begitu sahaja.

Tengku Syahran tunduk.Dia terus duduk di kerusi panjang dan mendiamkan diri.Dia masih berasa bersalah.Tindakan terburu-burunya telah menyebabkan Zahlia berkecil hati.Tengku Syahran mengeluh.Perlahan-lahan kepalanya diangkat.

“Alia, abang…”

Tengku Syahran berpaling ke meja solek.Tidak jadi untuk meneruskan kata-kata.Kerusi itu kosong.Tengku Syahran memusingkan kepalanya ke sekeliling bilik.Kelibat Zahlia sudah tiada.Mana dia? Tengku Syahran bercekak pinggang.Tiba-tiba matanya terpaku pada pintu bilik yang terbuka luas.Laa… senyap-senyap dia menyusup keluar! Rungut Tengku Syahran di dalam hati.

Tengku Syahran menggaru-garu kepala yang tidak gatal.Wanita itu masih marahkannya.Apa aku nak buat ni? Tengku Syahran menggigit jari.Ligat berfikir bagaimana caranya mahu memujuk Zahlia.Dengan lemah dia mencapai tuala dan berlalu ke bilik air.

Selesai bersolat, Tengku Syahran turun ke ruang tamu.Zahlia dilihatnya sedang menonton televisyen.Tengku Syahran melangkah senyap ke arah Zahlia.Tidak mahu mengganggu konsentrasi Zahlia yang bagaikan tidak menyedari kehadirannya.Atau Zahlia sengaja berpura-pura tidak sedar.

Tengku Syahran melabuhkan punggungnya dekat dengan Zahlia.Bersebelahan sehingga duduknya bersentuhan dengan tubuh wanita itu.Zahlia rimas.Sengaja mengengsot sedikit untuk mencari ruang jarak di antara mereka.Wajahnya tetap dihadapkan ke skrin televisyen.Tidak terlintas di hatinya untuk memandang wajah suaminya ketika ini.

Tengku Syahran mendekatkan semula tubuhnya ke arah Zahlia.Perlahan-lahan kepalanya dilentokkan ke bahu isterinya.Zahlia bengang! Segera ditolak tubuh lelaki itu jauh darinya.

“Apa abang ni? Jangan nak ambil kesempatan waktu orang tengah tak ada dalam rumah ni.Alia tak suka!” Zahlia mengamuk.

Tengku Syahran tersenyum.

“Haa… at last dengar pun suara Alia.Abang rindu nak dengar suara sayang! Dah seminggu sayang tak nak cakap dengan abang.” Tengku Syahran mendekatkan lagi tubuhnya ke arah Zahlia.
Zahlia rimas.Mahu ditepis tetapi tangannya dicapai.Zahlia terperangkap.

“Sorrylah.Abang tak bermaksud nak buat macam tu.Abang tak berniat pun nak cakap perkataan tu.Abang tak sengaja.” Tengku Syahran mengelus permukaan tangan Zahlia dengan lembut.

Zahlia menjeling suaminya.Tangannya ingin ditarik.Namun, Tengku Syahran semakin kuat mencengkam jari-jemari Zahlia.Kemudian, jari-jemari itu dibawa ke mulutnya.

Zahlia merengus.

“Janganlah! Alia tak suka abang buat macam ni!” Zahlia tetap menarik tangannya.

“Habis tu, Alia nak suruh abang buat apa? Abang cakap secara ikhlas ni, abang minta maaf.”

“Dah bosan Alia dengar abang cakap perkataan tu.Puncanya dari hal yang sama.Cemburu! Tapi, perangai tak berubah-ubah.Benci.” Zahlia menjeling lagi.

“Nak buat macam mana? Abang pun manusia yang ada perasaan!”

“Habis, abang ingat Alia tak ada perasaan? Nak terima setiap kata-kata maaf abang lepas abang tuduh Alia yang bukan-bukan? Alia sakit hati tau tak? Abang anggap Alia betul-betul macam patung bernyawa dalam rumah ni.Nak kena dengar semua cakap abang.” Zahlia merungut.

Tengku Syahran mencebik nakal.

“Yalah, sayang.Abang yang bersalah dalam hal ni.Cemburu abang tetap tak kena pada tempat.Tapi, siapa suruh Alia tak ceritakan pada abang hal-hal yang berlaku pada Alia setiap hari? Cuba bawa bersembang dengan abang tiap-tiap malam apa yang berlaku dalam hidup Alia.Ini… ada hal sikit, sembunyikan dari abang.Mana abang tak geram! Orang lain tuduh Alia yang bukan-bukan dan abang terima cerita yang menyakitkan hati dari orang lain.”

“Yang abang percaya sangat tu apasal? Alia pun ada terima CD yang fitnah abang dari Linda.Alia tak percaya pun! Abang tu aje yang cepat terpengaruh!” Zahlia sudah meledakkan kemarahannya.
Tengku Syahran mengeluh kecil.

“Abang sayangkan Alia, sebab tu abang takut Alia kecewakan abang.”

“Dah tak ada kerja lain agaknya? Semua cerita pasal Alia abang nak ambil tau! Alia pun ada jugak cerita yang tak boleh beritahu abang,” jawab Zahlia keras.

“Hei, dalam rumah tangga mana boleh berahsia.Kalau Alia berahsia, abang pun berahsia, seri rumah tangga tak mahu hinggap tau.”

Tengku Syahran melirikkan mata ke arah isterinya.Bibirnya tersenyum nakal.

Zahlia mencebik.

“Meluat Alia tengok muka abang macam tu.”

“Meluat-meluat pun, laki awak jugak.” Tengku Syahran menjawab dengan ketawa.

Zahlia mendengus.Segera dia bingkas untuk berlalu.

“Eh, nak ke mana tu?” pantas Tengku Syahran menegur.

“Alia nak naik bilik! Malas nak layan abang.”

“Haa… sebelum tu,sediakan makanan abang.Abang dah lapar,” pinta Tengku Syahran.

Zahlia memuncung.

“Ambillah sendiri kat dapur.Semua lauk Alia dah panaskan.”

“Tak mahu! Abang nak yang terhidang atas meja.”

“Abang ni mengada-ngadalah.Pemalas betul.”

“Suka hati abanglah.Abang dah ada isteri.Awak tu waktu-waktu macam nilah kena tunjuk tanggungjawab sebagai isteri.Itu pun nak kena ajar?” Tengku Syahran mengusik.

Zahlia mendengus lagi.Lambat-lambat menggerakkan kaki melangkah ke dapur.


ZAHLIA sudah lama terlelap di atas katil.Tengku Syahran juga telah terlena di kerusi panjang.Masing-masing tidur dengan nyenyak tanpa menghiraukan keadaan sekeliling.

Lenanya tidur kedua-duanya insan itu tanpa diganggu dengan apa-apa bunyi biarpun kedinginan angin malam yang meniup sesekali mengacau tubuh yang tidak berselimut.

Zahlia terus melayani tidurnya.Sesekali kelopak mata yang terpejam rapat itu bergerak-gerak apabila terasa sesuatu berjalan-jalan di sekitar lehernya.Kuat mencengkam dan kemudian merayap di tangannya.

Zahlia masih memejam mata tanpa menghiraukan benda yang masih berjalan-jalan merata-rata tubuhnya.Cengkaman yang tajam menyucuk kulitnya terasa menjalar di seluruh tapak kakinya.Sikit-sikit beralih ke betisnya dan kemudian bergerak perlahan-lahan ke pahanya.

Zahlia mula tidak sedap hati.Pantas membuka mata.Kemudian bangun dan duduk di atas katil bagaikan terpinga-pinga.Zahlia menggaru-garu kepala.Dalam kesamaran cahaya yang terbias dari luar rumah, Zahlia ternampak seperti ada sesuatu yang melekat di baju tidurnya.Zahlia membesarkan mata yang masih mengantuk.Benda kecil yang berwarna hitam itu bagaikan jelas di penglihatan.

Tiba-tiba Zahlia panik! Laju jantungnya bergetar.Lipas? Dengan sendirinya bulu roma Zahlia meremang tegak.Serangga yang paling ditakuti sedang melekat di baju yang dipakainya.Serangga kecil yang telah mengundang rasa fobia dalam dirinya dengan tiba-tiba.

Zahlia semakin cemas.Matanya dipejam rapat.Terkumat-kamit bibirnya beristighfar berharap segala-galanya hanya mimpi semata-mata.Tetapi, apabila matanya dibuka semula, serangga itu tetap seperti tadi.Zahlia telan air liur.

Tiba-tiba dia teringatkan Tengku Syahran.

“Abang…” Zahlia memanggil.Mendayu-dayu suaranya menahan gementar.Matanya tidak lepas-lepas memandang lipas yang masih pegun berada di baju tidurnya.

Tiada respons yang lahir dari Tengku Syahran.Malah deruan nafasnya semakin kuat kedengaran di telinga Zahlia.Zahlia semakin gementar.Peluh dingin hadir dengan sendiri membasahi seluruh tapak tangannya.

“Abang…” Zahlia masih mencuba.Kali ini semakin kuat suaranya.Berharap suaminya terjaga.
Tengku Syahran dilihatnya kaku.Nafas Zahlia makin sesak.Dia perlu buat sesuatu.

“Abang!” jeritnya kuat.

Kali ini Tengku Syahran terjaga.Suara Zahlia yang nyaring masuk ke lubang telinga amat memeranjatkan.Tidurnya tergugat.Tengku Syahran meraup mukanya.Dengan mamai yang masih ada, dia menoleh ke arah Zahlia.

“Apa halnya menjerit tengah-tengah malam ni? Abang mengantuklah,” jawab Tengku Syahran sedikit marah.

Zahlia mengetap bibir.Rasa ingin menangis pun ada dengan sikap acuh tak acuh Tengku Syahran.Sesungguhnya Zahlia memerlukan seseorang untuk menghilangkan ketakutan yang sedang dialaminya ketika ini.

“Kenapa?” soal Tengku Syahran sedikit tinggi.

“Alia… Alia takut,” jawab Zahlia pendek.Entah mengapa tiba-tiba dia terasa malu untuk berterus-terang.Tapi, dia benar-benar takutkan lipas!

Tengku Syahran bingkas bangun dan menuju ke arah Zahlia.

“Alia takut apa?” tanya Tengku Syahran.

“Tu…” Zahlia memuncungkan bibirnya ke arah serangga berwarna hitam di bajunya.

Tengku Syahran menoleh.Selamba wajahnya.Tiada apa-apa riak kerisauan yang kelihatan di wajahnya dalam kesamaran cahaya itu.

“Lipas? Laa… abang ingatkan apa benda! Buang ajelah kat tingkap tu!”

Dahi Tengku Syahran berkerut.Kakinya mula bergerak.Ingin menuju ke kerusi panjang semula tanpa apa-apa tindak balas.Namun, langkahnya terhenti sendiri.Rasa mengantuk yang pada mulanya bersisa, bagaikan hilang dengan sendiri.Telinga Tengku Syahran tiba-tiba menangkap bunyi tangisan kecil di belakangnya.

Segera Tengku Syahran memusing.Wajah pilu Zahlia mengundang rasa simpati dalam dirinya.Berkaca-kaca mata yang kuyu itu membendung air jernih yang ingin meleleh keluar dari kelopak mata.

Tengku Syahran mula tersedar.Dia tidak patut bersikap begitu.Mungkin Zahlia benar-benar dalam ketakutan.Ya, ALLAH! Apa yang telah aku lakukan ni? Boleh buat endah tak endah waktu Alia sedang dalam situasi begini!

Tengku Syahran terus melangkah ke arah Zahlia.Pantas sekali tangannya mencekup lipas yang melekat di baju tidur isterinya lalu dibuangnya ke luar tingkap.Tengku Syahran berpaling ke arah Zahlia semula.Wanita itu masih kaku.

Tengku Syahran terus melangkah semula ke arah Zahlia.Matanya menjilat segenap wajah yang kelihatan benar-benar ketakutan.Dengan lemah Tengku Syahran duduk di sisi isterinya.Pandangannya masih belum lari dari memerhati seluruh wajah yang sudah biasa basah dengan air mata.Tengku Syahran membiarkan matanya menumpu pada bibir Zahlia yang merekah.Nampak menggigil.Timbul rasa bersalah kerana membiarkan perasaan takut menjalar dalam diri isterinya tadi.

“Maafkan abang, Alia.Abang tak tau Alia takutkan lipas,” pujuk Tengku Syahran.Air mata isterinya diseka dengan jari kasarnya.

Zahlia membeku dalam duduknya.Nafasnya masih laju menderu.Fobianya pada lipas tidak pernah padam sejak kecil lagi.Ketika itu, dia memakai baju sekolah.Tiba-tiba hinggap seekor lipas.Dia benar-benar takut dan terus menangis.Kawan-kawannya gelihati melihat perangai Zahlia.Sejak itulah dia fobia dengan lipas.

Tengku Syahran runsing melihat kesepian Zahlia.Lantas diraihnya tubuh wanita itu ke dalam pelukan.Berharap ketakutan Zahlia dapat diredakan.

Zahlia rebah di pelukan Tengku Syahran.Dia menangis tersedu-sedan di dada lelaki yang erat merangkul tubuhnya.Sedikit hilang perasaan gementar yang menguasai diri.

Tengku Syahran terasa tangan isterinya kuat memeluk pinggangnya.Simpatinya tumpah di situ.Perlahan-lahan dicium lembut bahu Zahlia.

“Sudahlah, sayang! Abang ada dekat sini!” Tengku Syahran berbisik dan sempat mengucup telinga isterinya.Ciuman itu terus berjalan ke sekitar wajah Zahlia.

Zahlia tidak membantah.Malah belaian suaminya bagaikan menghalau ketakutan yang dirasainya.Buat pertama kali Zahlia hanya membiarkan kelakuan lelaki itu.Tangannya semakin erat memeluk Tengku Syahran sehingga Tengku Syahran lupa segala-galanya.Tangan Zahlia yang kuat memeluk pinggangnya terasa kemas.Tengku Syahran dan Zahlia kalah!

Akhirnya, malam pun merangkak pergi membawa bersama rahsia yang tersendiri.


ZAHLIA menangis tersedu-sedan di dalam bilik air.Pancutan air yang menderu keluar dari corong shower bagaikan berlumba-lumba mahu membersihkan dirinya.

Kain batik kemban yang dipakainya sudah lama lencun dibasahi air.Zahlia masih belum berhenti menangis.Sejak dia melangkah ke bilik air, Zahlia sudah melayani rasa hiba yang tidak henti-henti datang mengganggu.Dia menangis sehingga terduduk di atas lantai.Dia terus dihantui rasa bersalah yang memuncak.

“Kau dah tercemar! Hanya kerana seekor lipas, kau dah musnahkan hidup kau! Kau dah tak ada apa-apa Alia! Kau dah serahkan maruah kau pada lelaki itu!” Zahlia terdengar bisikan itu bergema di telinganya.

“Kau tak pernah tercemar Alia.Kau sudah menjalankan tanggungjawab kau sebagai isteri dengan baik.Bagus! Selepas ini, jangan sia-siakan perkahwinan ini lagi.Kau dan Syah memang patut hidup bersama,” bisikan yang lain pula kedengaran.

“Tapi, kau dengan Syah akan berpisah tak lama lagi! Jangan harap yang Syah akan ambil kau sebagai isteri.Dia dah dapat apa yang dia mahu dari kau.Dia akan tinggalkan kau!” suara jahat itu terus menyampuk.

“Tidak, Alia! Percayalah.Syah sayangkan kau.Dia akan terus menyayangi kau kalau kau pandai mengambil hati dia.Jangan percayakan kata-kata karut tu,” bisikan halus yang bergema cuba memujuknya.

Zahlia tersedu lagi.Fikirannya ligat memikirkan kata-kata yang tersembur di benaknya tadi.Kalau boleh Zahlia ingin terus berlama-lama di situ tetapi tubuhnya yang kian menggigil mematikan niat.Zahlia segera mengesat air matanya.Dia bangun dan memulas tombol air pancut yang sejak tadi terpasang.

Setelah siap berpakaian, Zahlia keluar dari bilik air.Ketika itu, Tengku Syahran sudah pun terjaga dari tidur.Dia tersenyum.Senyuman yang sukar ditafsirkan oleh Zahlia.Zahlia berpura-pura menyibukkan diri.Selesai menunaikan solat Subuh, dia turun ke dapur untuk menyediakan sarapan.Itulah rutinnya sejak beberapa hari yang lalu.

Zahlia sudah siap menyediakan sarapan.Kini, dia sedang leka mengelamun di kerusi makan.Entah apa yang meracau isi hatinya sehingga mampu membuatkan dirinya hanyut dengan dunianya sendiri.

Tengku Syahran yang berdiri di sebelahnya secara tiba-tiba tidak berjaya menghalau lamunannya.Zahlia hanya tersedar apabila terasa ciuman mesra bertaut di pipi.Tengku Syahran hanya tersenyum.Cerianya lelaki ini! Sedangkan aku? Gerutu hati kecil Zahlia.

“Ayang menungkan apa?” soal Tengku Syahran.

Zahlia menggeleng lemah.Tindakan itu membuatkan Tengku Syahran mematikan senyuman.Lantas melabuhkan punggung di kerusi bersebelahan isterinya.

“Kenapa ni? Nampak macam tak sihat aje?” Tengku Syahran semakin risau.Disentuh lengan Zahlia berharap wanita itu sudi memberitahu kemusykilan yang melanda diri.

Zahlia tetap menggeleng.Pantas menarik tangan dari dipegang suaminya.

Tengku Syahran mula mengesyaki sesuatu.

“Alia marahkan abang tentang hal semalam ya?” teka Tengku Syahran.

Zahlia diam membatu.Mengeluh kecil kemudian tunduk.Tiba-tiba Tengku Syahran menarik tubuh Zahlia supaya menghadapnya.Zahlia hanya menurut.

“Abang dah agak benda ni akan berlaku sejak Alia keluar dari bilik air lagi.Kenapa mesti marah? Abang tak paksa Alia pun semalam dan kenapa Alia tak menghalang abang langsung kalau betul Alia tak setuju dengan perbuatan abang? Alia tak boleh salahkan abang seorang,” ujar Tengku Syahran dengan wajah yang serius.

Ayat yang dilafazkan suaminya itu bagaikan mencekik pangkal leher Zahlia.Selambanya jawapan dia! Aku yang risau bagaikan nak gila ni, dibuat tak endah aje!

“Kalau abang tak bertindak sesuka hati pun, benda tu takkan terjadi.” Akhirnya Zahlia membuka mulut.

Tengku Syahran mahu ketawa mendengar kata-kata Zahlia.Alasan yang tak munasabah! Bukankah dia juga yang memeluk aku erat-erat sehingga aku lupa segala-galanya.Sekarang, nak marah-marah aku pulak!

“Habis, siapa yang suruh Alia kejut abang dari tidur?”

“Alia nak suruh abang tolong buangkan lipas tu aje.That’s all! Tapi, apa yang abang lakukan lebih dari tu.” Zahlia mengesat air mata yang tiba-tiba mengalir.

“Cuba Alia cakap, apa yang abang lakukan pada Alia? Abang sakiti hati Alia? Abang pukul Alia? Tak ada kan? Abang cuma cari hak abang sebagai suami dalam diri Alia… salah ke?” Tengku Syahran mula membentak.

Zahlia tertunduk.

Tengku Syahran cuba bersabar.Suaranya yang kian tegang, cuba dikendurkan.Melihatkan wajah Zahlia yang keruh amat menyentuh jiwanya.

“Okey, kalau Alia tak puas hati… abang minta maaf! Tapi, kita dah terlanjur.Perkara tu dah terjadi pun.Alia tak boleh menyangkal.Takdir telah menentukan yang Alia dah jadi hak abang luar dan dalam! Semalam, bersaksi ALLAH.DIA dah nampak apa yang kita lakukan.Kita tak boleh lari.”

“Cukup! Puaslah hati abang sekarang, kan? Abang dah dapat apa yang abang mahu dari Alia.Bolehlah abang lepaskan Alia,” pinta Zahlia secara mengejut.

Bulat mata Tengku Syahran mendengar ayat yang tercetus di bibir halus itu.

“Apa yang Alia cakapkan ni? Kenapa hal semalam jugak yang Alia nak ungkitkan? Dahlah Alia… kita lupakan perkara yang lepas.Abang berjanji akan bertanggungjawab sepenuhnya pada Alia.Jangan nak kusutkan lagi keadaan.Masa depan kita yang lebih penting sekarang ni!” Tengku Syahran bersuara lembut.Berniat memujuk kekusutan isterinya.

“Alia benci tengok abang!”

“Tapi, abang sayangkan Alia.Terimalah cinta abang sayang!”

“Tak nak!”

“Kenapa?”

“Kalau abang tak menghina Alia hari tu, mungkin sudah lama Alia menerima abang.Tapi, disebabkan kata-kata abang tu, Alia akan membenci abang.Alia takkan lupa sampai bila-bila! Ditambah lagi dengan hal semalam, Alia tetap akan membenci abang.”

Tengku Syahran tersentak.Rupa-rupanya hal itu!

“Kalau hal itu, abang minta maaf Alia! Abang tak bermaksud pun nak menghina Alia!”

“Itu ajelah yang abang tau nak cakap.Alia benci tengok abang! Alia benci tengok abang! Alia benci tengok abang!” Zahlia berkata kuat.Begitu bersungguh-sungguh.

Tengku Syahran mengeluh sambil menggeleng.

“Sampai bila Alia nak berperangai begini?” tanya Tengku Syahran dalam nada terkilan.

“Sampai bila-bila.Sampai hati Alia puas bila tengok abang mengalah!” Zahlia menjawab.
Tengku Syahran tersenyum kecil.

“Abang tak mungkin akan mengalah,Alia.Abang akan berusaha memenangi semula hati Alia.Sampai bila-bila.Sampai hati abang yang puas tengok Alia yang mengalah! Lagipun, abang tau isteri abang ni bukan nak berterus-terang tentang hati dan perasaan sendiri secara direct dengan abang.Dia lebih senang nak beritahu orang lain tentang perasaan dia pada kita,” ucap Tengku Syahran panjang.

Zahlia terkedu. “Apa maksud abang?”

Tengku Syahran menjungkit kening.

“Alia ingat abang tak tau yang Alia ada jumpa Anis masa abang merajuk dengan Alia dulu? Eleh, takut jatuh cinta konon… dalam diam rupa-rupanya sayangkan kita!” Tengku Syahran mengejek dengan senyuman nakal.

Zahlia menjeling Tengku Syahran.

“Benci…” Zahlia berkata dan ingin berlalu.

Sumber: mulotbua


1 comment: