Irma Hasmie Bidadari buat Redza


Ramai yang suka lihat gambar perkawinan Irma Hasmie HJ Ibrahim dan pasangannya Redza Syah Azmeer Dato' Dr. Hj Mohd Radzuan ni. Melalui komen di setiap entry di beutifulnara yang memaparkan gambar di majlis akad nikah, majlis resepsi dan photoshot perkahwinan  malah di FB page jurugambar rasmi majlis pernikahan Irma Hasmie dan Redza juga ramai yang memberikan feedback positif mendoakan kedua pasangan ni.

So pada yang minat dengan Irma Hasmie boleh la berkira-kira untuk membeli majalah Mingguan Wanita yang terbaru (Muka hadapan gambar Irma dan suaminya) ada artikel berkaitan Irma dengan tajuk "Irma Hasmie Bidadari buat Redza"



Artikel dari Mingguan wanita online:


Lembayung Kaabah meneduhi pertemuan dua insan bernama Irma Hasmie Haji Ibrahim, 30 dan Redza Syah Azmeer Dato’ Dr Hj Mohd Radzuan. 31. Sapaan penuh mesra oleh ibu Redza, Datin Hajah Azizah Osman saat pelakon dan pengacara ini mengerjakan tawaf umrah menjadi titik tolak kepada sejarah percintaan antara mereka.

Segalanya berlangsung terlalu pantas, dua minggu selepas pulang umrah untuk kali ketiga, Irma dirisik oleh keluarga Redza. Sebulan kemudian, mereka diikat sebagai tunangan namun ia bukanlah lesen untuk mereka bebas. Akhirnya selepas tiga bulan menjadi tunangan, dua hati ini disatukan oleh bapa pengantin perempuan, Haji Ibrahim Othman di hadapan Imam Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Ustaz Mohd Redza Ahmad pada 29 Jun lalu dengan sekali lafaz.

Indahnya percintaan dengan restu keluarga, begitulah juga damainya majlis pernikahan dan persandingan yang diada kan untuk meraikan kedua pengantin di Dewan Persidangan, Kompleks Per bada nan Putrajaya dan Dewan D2 Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).

Perjalanan majlis pernikahan berlangsung dengan penuh tertib. Begitu juga dengan majlis persandingan yang disuburi dengan sunah Rasulullah S.A.W. Baik daripada ungkapan pengacara majlis, alunan muzik yang meruntun hati, bacaan ayat suci AlQuran, sentuhan kalbu oleh Haji Ahmad Noor Sulaiman sehinggalah bacaan doa oleh Ustaz Don Daniyial Don Biyajid sedikit sebanyak menyentuh jiwa para tetamu yang hadir. Doa itu jugalah yang dititipkan oleh Irma Hasmie saat menunaikan umrah untuk kali yang keempat.

“Ketika melakukan tawaf umrah itulah saya ditegur oleh ibu Redza, memandangkan saya ada lagi dua pusingan tawaf, kami berjanji akan bertemu kembali. Tapi kami tak tetapkan masa dan tempat pertemuan.

“Tatkala saya berada di Bukit Safa, menghadap ke arah Kaabah dan pada takbir tiga kali semasa berpaling saya terpandang ibu Redza menuju ke arah saya. Pada masa itulah dia mempelawa saya saie bersama keluarganya dan menjemput kami meraikan hari lahir ayahnya, Dato Dr Hj Mohd Radzuan di Hotel Hilton di Makkah,” ungkap Irma tentang bagaimana segala-galanya bermula.

Rentetan daripada pertemuan itulah dia menemui jodohnya dan kini dia sah bergelar isteri kepada Redza Syah Azmeer yang buat dirinya seorang lelaki yang jujur dan ikhlas.

“Sememangnya Redza seorang yang menyelesakan dan lemah lembut tutur katanya. Tempat, keadaan dan masa yang sesuai membuatkan hati saya bertambah yakin inilah jodoh yang Allah utuskan untuk saya. Dia juga seorang yang jujur, ikhlas, bertanggungjawab, bersifat penyayang dan boleh dipercayai. Tidak banyak kesulitan yang kami hadapi baik dalam menguruskan urusan perkahwinan kami,” tuturnya yang kelihatan berseri-seri.


Lihat Isteri Bukan Sebagai Artis

Bagi Redza pula, dia melihat isterinya itu bukan sebagai artis. Sebaliknya Irma buat dirinya adalah seorang individu yang biasa. Bukan soal cantik mahupun artis yang menjadi sandaran hatinya. Malah saat diberitahu ibu mentua tentang Irma yang bukanlah pakar dalam soal memasak, dirinya tetap yakin isterinya itu mampu untuk bergelar wanita solehah.

“Saya tidak kisah dalam soal makan. Begitu pun ibu saya seorang yang pandai masak, saya harap Irma dapat belajar dengan ibu saya. Lagipun, saya dimaklumkan oleh makcik-makcik Irma bahawa dia tetap ada sentuhan dalam masakan dan saya percaya InsyaAllah Irma pandai dalam hal itu.

“Harapan saya agar Irma dapat menjadi bidadari untuk saya, bersedia menjadi keluarga dan ibu kepada anak-anak saya.
Sememang nya cinta kami datangnya daripada ibu bapa tetapi ketika pertama kali melihatnya di hadapan Kaabah, terdetik di hati saya inikah jodoh yang Allah berikan untuk saya.

“Sememangnya ibulah yang memula kan nya. Saya hanya ber peluang menyapa nya ketika dia turut hadir untuk meraikan hari lahir ayah di Makkah,” ujar Redza yang mempunyai adik perempuan kembar tetapi telah dijemput Ilahi saat usianya belasan tahun lagi.

Simbolik wang hantaran Dalam majlis pernikahan penuh keberkatan itu, Irma Hasmie menerima mas kahwin sebanyak tiga dinar (RM2,200). Mana kala wang hantaran sebanyak RM33 333.33 dihadiah kan oleh Redza untuk Irma.

“Sebenarnya saya sendiri tidak tahu berapa jumlah hantaran. Ia adalah hadiah dari Redza untuk saya. Saya pun hendak tahu juga berapa jumlahnya,” ucap Irma ketika ditanya sebaik sahaja bergelar isteri. Wang hantaran itu juga kata Redza pula adalah hadiah perkahwinan buat isteri tercinta. Bagaimanapun, Irma sepakat untuk tidak menggunakan wang hantaran tersebut sebaliknya ia akan dihadiahkan pula untuk cahaya mata mereka kelak.

“Jumlah wang hantaran itu ditentukan oleh ayah. Tiada yang istimewa pada angka itu, barangkali juga jumlah kami tiga beradik lantaran itulah angka tiga menjadi pilihan,” tuturnya ketika ditemui di dalam bilik persalinan pengantin selepas pernikahan.

Sememangnya Irma dan Redza mempunyai terlalu banyak persamaan dan mudah mencari kata sepakat. Sungguhpun begitu ada ketikanya, mereka bertelingkah dalam sesuatu perkara namun ia dapat di atasi dengan baik.

“Ada ketikanya kalau saya ‘panas’, Irma akan mengalah dan begitulah sebaliknya. Kami akan fikirkan perkara yang baik-baik dan cepatlah reda kemarahan yang ada. Sebenarnya bercinta selepas berkahwin lebih membahagiakan. Ia lebih mendalam dan lebih banyak perkara yang dapat diselesaikan secara bersama.

“Kalau dulu segalanya terbatas. Hendak berpegang tangan pun tak boleh sebab ia berdosa. Sekarang semuanya sudah halal. Pegang tangan pun boleh dapat pahala begitu juga kalau kita bercakap yang baik-baik dengan isteri,” ujar Redza ketika diminta mengulas mengenai percintaan selepas perkahwinan. Saat ditanya tentang harapannya untuk mendapatkan cahaya mata, Irma menyerahkan hal itu kepada rezeki itu kepada ketentuan Allah begitu juga dengan Redza.

“Selagi ada daya kami akan berusaha untuk mendapatkan seberapa yang mampu. Kami tak merancang untuk mendapatkan berapa orang anak, tapi harapan kami sebolehnya untuk mendapat anak kembar memandangkan saya juga merupakan anak kembar sepasang lelaki dan perempuan,” akui Redza.

Dalam pada itu pasangan pengantin sama cantik sama padan ini akan menerima hadiah perkahwinan pakej pelancongan bulan madu ke Gold Coast, Australia pada 9 hingga 14 Julai ini. Hadiah tersebut ditaja oleh pemilik butik tudung terkenal D’Haja yang berpusat di Seremban.


Doa Ibu Irma Dimakbulkan 

Perkahwinan satu-satunya anak perempuan Ropitah Abdul Halim bukan sahaja memberikan khabar gembira buat ibu beranak tiga ini tapi terselit juga rasa sedih bila Irma menjadi hak mutlak suaminya.

“Inilah doa saya sebagai ibu agar Irma memperoleh suami mengikut ciri-ciri yang digariskan oleh Rasulullah S.A.W seperti beragama dan baik keturunannya. Bila pertama kali Irma menelefon mahu memaklumkan sesuatu, saya sudah boleh agak bahawa dia mahu perkenalkan jodohnya. Lagipun, sebelum Irma berangkat menunaikan umrah kali ketiga, saya pesan padanya agar mohon dipertemukan jodoh.

“Pertama kali Irma perkenalkan Redza, saya senang dengan sikapnya yang berterus terang, bersopan santun dan pandai pula mengambil hati orang tua. Harapan saya agar Irma banyakkan bersabar, mengurangkan sedikit amarah pandai jaga hati suami dan belajar untuk menghargai pasangannya. Irma juga perlu bijak bahagikan waktu antara kerjaya dan tanggungjawab sebagai isteri,” pesan ibu Irma yang sempat ditemui pada majlis berinai sehari sebelum Irma bergelar isteri.


Pertemuan Ibu Bawa Bahagia Pada Anak

Bagi ibu Redza, Datin Azizah Osman tiada kata yang mampu diungkapkan oleh dirinya selain ucapan syukur ke hadrat Ilahi kerana mempertemukan anak terunanya dengan jodoh yang baik dan serasi. Dia sendiri merasakan sudah tibanya untuk Redza mempunyai suri hidup dan pertemuan di kota suci Makkah adalah anugerah dan hadiah paling bermakna untuk anaknya itu.

“Apa yang saya rasakan kini adalah teruja menerima menantu sulung dalam keluarga kami. Redza anak yang sulung dalam keluarga dan dia adalah yang pertama berkahwin, jadi kehadiran Irma dalam keluarga kami sangatsangat dialukan dan saya menerima dia bukan sahaja sebagai menantu tetapi sebagai anak perempuan dalam keluarga kami.

“Apa yang saya harapkan agar mereka berdua dapat hidup bahagia dan melayari bahtera perkahwinan dengan aman, bahagia dan berkekalan hingga ke hujung nyawa,” ujar Datin Azizah yang sangat menyayangi menantu sulungnya itu. Dalam pada itu akuinya dia langsung tidak menyangka pertemuan yang singkat di Tanah Suci itu membawa bahagia kepada anaknya Redza.

“Apabila memandang wajah Irma, hati sejuk dan saya berasakan dia adalah pilihan yang tepat untuk Redza. Alhamdulillah Redza juga menyerahkan semua urusan jodoh dan majlisnya kepada kami ibu dan ayahnya.

“Selepas mendapat persetujuan daripada Redza sendiri, maka selepas sahaja pulang daripada umrah itu kami terus merancang untuk berjumpa keluarga Irma dan menghantar rombongan merisik.

Seterusnya bertunang dan inilah pengakhirannya majlis akad nikah dan persandingan Redza dan Irma dapat dilangsungkan dalam suasana yang cukup meriah, santai dan diredhai, insya- Allah,” ujar Datin Azizah yang tidak putus senyuman di bibirnya.


Tertarik Dengan Sikap Menantu

Perasaan yang sama turut dikongsi oleh bapa Redza Dato’ Dr Hj. Mohd Radzuan yang amat bersyukur ke hadrat Ilahi kerana menemukan anaknya dengan pasangannya di tempat yang sangat diberkati oleh Allah S.W.T iaitu kota suci Makkah.

“Kali pertama berjumpa dengan Irma ketika makan malam sambutan ulang tahun kelahiran saya di Makkah saya benar-benar berkenan dengannya. Sifatnya yang lemah lembut dan sopan santun itu, membuatkan hati saya terdetik dia sesuai untuk Redza.

“Jadi perkenalan singkat itu, tidak mahu diputus begitu sahaja. Sebagai seorang ayah, saya benar-benar lega dan tenang apabila Redza juga bersetuju untuk membawa hubungan ini ke arah yang lebih serius dan bermakna. Jadi dalam masa yang singkat semuanya dipermudahkan oleh Allah SWT dan semuanya berjalan lancar, hinggalah kepada majlis hari ini,” ujarnya yang menitipkan pesanan agar anaknya sabar dan tenang melayani bahtera rumah tangga.

“Sama ada Redza ataupun Irma, saya mengharapkan agar mereka menjaga hubungan yang maha suci ini dan sentiasa segarkan ia dengan penuh kasih dan sayang. Andai salah seorang sedang dalam keadaan marah, salah seorangnya perlu menjadi pendamai dan itu adalah kunci kepada kebahagiaan sesebuah rumah tangga.

“Sebagai orang tua, saya dan ibunya hanya boleh memberi panduan dan selebihnya Redza dan Irma perlu mengemudikannya sendiri,” ujar ayah Redza yang cukup ‘sporting’ apabila menyampai kan sebuah sajak berjudul ‘Restu’ pada malam persandingan Redza dan Irma di Dewan MAEPS.


Note : Berzaman dah tak beli Mingguan Wanita .....

4 comments:

  1. sweet je dorang ni..dah jodoh katanya

    ReplyDelete
  2. memang jodoh betul2 Allah kasi kat dia.
    alhamdulillah

    ReplyDelete
  3. indah kisah titik pertemuan mereka..jodoh ketentuan Allah..subhanallah

    ReplyDelete