Drama dari Novel Sehangat Asmara di Astro Mustika HD


*Update episod 1-3,

Drama adaptasi novel yang bakal menggantikan Drama Adam dan Hawa - Drama "Sehangat Asmara"  kemungkinan akan mula bersiaran pada 21  Januari 2013, di Astro Mustika HD 134.

Pastinya bagi yang pernah membaca Novel " Sehangat Asmara" karya Aisya Sofea ini sudah mengetahui bagaimana jalan ceritanya bukan?

Bagi yang belum pernah membaca novel ini atau yang pernah membacanya lama dahulu tapi sudah terlupa jalan ceritanya bagaimana, untuk makluman kalian, Novel Sehangat Asmara ini berkisar tentang kisah cinta tanpa restu keluarga antara Kamilia Najwa ( Rita Rudaini ) dan Zainal Arief. (Adi Putra)




" Bibir tidak perlu berkata bila hati sudah mula bersuara "

Selain Adi Putra dan Rita Rudaini yang memegang watak utama ( sebagai Zainal Arief dan Kamilia Najwa ) pelakon lain yang menjayakan drama ini ialah  Shahz Jazle sebagai Azman Dato Razali , Adik Nur Fureena Ezlin sebagai Misya ( anak Kamilia dan Zainal arief)  Dian P Ramlee sebagai ibu Kay ( Kamilia Najwa).

Sinopsis Sehangat Asmara (versi Novel)



Mengisahkan Kamilia Najwa atau Kay yang melanjutkan pelajaran di luar negara, bertemu dengan Zainal Arief, satu pertemuan yang membuahkan “ Cinta pandang pertama".  
Demi cinta mereka bersatu , namun perkahwinan mereka tak direstui oleh keluarga. kerana ibu dan ayah Kamilia tidak menyenangi Zainal Arief yang tidak sedarjat dengan mereka.

Detik-detik kebahagiaan mereka tiba-tiba terhenti. Zainal terpaksa pulang ke tanah air dengan janji bahawa dia akan kembali lagi.  Namun janji tinggal janji, Zainal menghilang tanpa khabar berita membuatkan hidup Kamilia terumbang-ambing di negara orang keseorangan. Di tambah dengan keadaannya yang hamil tanpa pengetahuan Zainal Arief, Kamilia terus menanti dengan air mata dan sengsara.  
Kay dibawa pulang ke Malaysia oleh keluarganya dan mereka memaksa Kay melupakan Zainal. Dalam keadaan fikiran yang tidak menentu, Kamilia melahirkan Misya. Mujur Azman setia di sampingnya. Azman banyak membantu memulihkan semangatnya yang hilang setelah ditinggal Zainal Arief.

Selama 9 tahun lamanya, tiada khabar berita dari Zainal. 
Tanpa diduga, Zainal muncul kembali setelah dia ternampak wajah Kay dan anak perempuan mereka dalam sebuah majalah . Kemunculan Zainal Arief meragut ketenangan hidupnya semula. Kamilia tahu Zainal Arief pasti mahukan kepastian tentang Misya yang disembunyikan selama ini 'disembunyikan' oleh Kamilia dari pengetahuan lelaki itu.

Dendam kesumat Kamilia terhadap Zainal tidak pernah padam. Kerana dendam Kay tidak membenarkan Zainal menghampiri Misya. Dalam rela dengan tidak, Kamilia menemukan juga Misya dengan ayahnya, Zainal Arief, setelah tahu hasrat Zainal yang ingin membawa kes tuntutan ke mahkamah .

Kerana dendam dan rasa tidak puas hati, Kamilia terus terusan bertanya sebab dan alasan Zainal Arief meninggalkannya dulu, namun tiada sebarang penjelasan yang diberikan Zainal Arief. Kemesraan yang ditunjukkan Misya dengan Zainal Arief sungguh meruntun hatinya. Anak kecil itu langsung tidak mendendami ayahnya yang meninggalkan sekian lama sedangkan Kamilia masih menyimpan rasa itu.

Anehnya, walaupun dia masih lagi berdendam dengan Zainal, namun 'dendam rindunya' terhadap lelaki itu lebih kuat dan mengusik perasaannya. Hubungan mereka kembali rapat dan Zainal masih menyimpan perasaan cinta terhadap Kay, sehinggakan Zainal Arief melamarnya buat kali kedua kerana mahukan keluarga yang bahagia , hidup bersama Kay dan anak mereka.. 

Buntu dan binggung fikirannya, lebih-lebih lagi  pada ketika itu keluarga Kay mahu Kay berkahwin dengan Azman.. Rasa kasihan pada Azman yang setia menunggu hatinya terbuka untuknya. Namun,Azman begitu memahami Kamilia. Dia sanggup berundur diri demi kebahagian Kamilia. Dia yakin cinta Kamilia hanya untuk Zainal Arief.

Demi anak mereka Kay sanggup hidup semula dengan Zainal walau masih ada syak wasangka terhadap Zainal Arief yang kini suaminya kembali.    

Kay masih tertanya-tanya mengapa lelaki itu meninggalkan dia selama 9 tahun tanpa khabar berita. Setiap kali pertanyaan tentang kisah silam diungkitkan, Zainal Arief hanya meminta kemaafan darinya dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya dulu. 

Rahsia terbongkar apabila Kay bergaduh dengan adik Zainal kerana Kay masih menuduh Zainal sebagai lelaki tak bertanggungjawab kerana meninggalkan dia selama ini.

Rupanya Zainal meninggalkan Kay dan pulang ke Malaysia kerana dia telah diugut oleh bapa Kay yang kaya dan berpengaruh. Sanggup ayahnya menggunakan kuasa yang dimilikinya untuk mengugut keluarga Zainal Arief. Zainal Arief terpaksa menurut segala kemahuan ayah Kamilia jika mahukan adik-adiknya meneruskan pelajaran mereka.

Akhirnya ayahnya mengaku yang dia menjadi punca Kay dan Zainal berpisah, dan dia jugalah yang merancang pendedahan tentang Misya di majalah dengan harapan Zainal Arief akan terbaca mengenainya dan mencari Misya. Kamilia begitu kecewa dengan perbuatan ayahnya. 

Zainal Arief begitu marahkan Kamilia kerana memarahi ayahnya. Pada Zainal Arief biarlah semua yang berlaku dulu sebagai pengajaran untuk mereka dalam menilai kehidupan. Walau macam mana buruk pun perbuatan ayah Kamilia itu sebagai anak Kamilia tidak berhak memarahi ayah kandungnya sendiri. Kamalia yang terasa hati dengan kata-kata Zainal Arief terus melarikan diri ke kampung mertuanya.

Tanpa disedarinya, dirinya hamil lagi. Perubahan itu disedari oleh ibu mertuanya. Di beritahu Zainal Arief akan perkembangan itu dan Zainal Arief muncul untuk memujuk Kamilia. Diterangkan dengan jelas kejadian 9 tahun lalu dengan harapan tiada lagi permasalahan yang timbul selepas ini. Kamilia yang terharu dengan pengorbanan suaminya itu, berasa sungguh bertuah dapat memiliki lelaki itu. Di buang segala keraguan dalam dirinya. Dia yakin cintanya masih utuh untuk lelaki yang bergelar suami ini. Dia berdoa semoga bahagia yang mulai bersinar ini akan terus bersinar menerangi kehidupan mereka. Tamat ...

Sumber : nurizspace.com & aznanie.blogspot.com

2 comments: