Scam Alert: Penipuan melalui SMS


Pernah tak korang menerima masej lebih kurang camni;

" TAHNIAH! Simcard anda telah terpilih menangi wang RM 90,000.00 Dr SHELL M.BHD

No.siri xxxxxx Sila call : 03xxxxxxxxx "


Biasakan?

Kalau tak sejibik cam ayat kat atas ni pun, pasti ada ayat kata menang wang tunai sekian-sekian jumlah, dari sekian-sekian peraduan atau syarikat.

Mungkin ada yang membaca entry ini memberi respon kata ' ala sms macam tu pun ada yang percaya jugak ke?" atau " kalau saya, saya delete je terus sms camtu, dah sah-sah menipu" . 

Ya mungkin kita antara golongan yang tak mudah tertipu dengan tawaran sebegitu, tapi perlu diingat manusia ni pelbagai, dan mungkin ada yang jenis mudah tertipu dengan tawaran sebegitu merupakan orang yang hampir dengan kita tak kira la saudara mara kita, kenalan kita, jiran kita atau mereka-mereka yang duduk bersebelahan dengan kita di dalam pengangkutan awam atau sebagainya.

Seandainya kita terserempak dengan mereka-mereka yang mudah percaya dengan sms sebegitu, pe kata terangkan dan nasihati mereka dan jangan sesekali menempelak mereka.

Apa yang ingin diterangkan berkaitan hal ini ?

Beritahu pada mereka bahawa adanya kes penipuan melalui khidmat pesanan ringkas yang mana menyatakan anda memenangi hadiah wang tunai berjumlah ratusan hingga ribuan ringgit daripada syarikat minyak, minuman atau telekomunikasi terkenal (di Malaysia).

Terangkan pada mereka taktik yang mungkin diguna pakai oleh sindiket penipuan bagi memperdaya mangsa seperti :

i) Deposit wang tunai terus ke dalam akaun bank yang diberikan suspek.

ii) Pindahan wang dari akaun mangsa ke akaun yang diberikan suspek. (mangsa hanya mengikut arahan suspek melalui telefon dan tidak sedar diperdaya).

iii) Suspek mengaktifkan online banking milik mangsa dan kemudiannya pindahkan wang mangsa. (mangsa hanya mengikut arahan suspek melalui telefon dan tidak sedar diperdaya).

iv) Mangsa diarah tambah nilai (Top-up) nombor-nombor telefon pra-bayar suspek.

Bagaimana taktik diatas dijalankan?
  1. Mangsa menerima sms mengatakan “ tahniah, simkad anda telah memenangi hadiah wang tunai yang bernilai ribuan ringgit daripada syarikat tertentu ”. 
  2. Kemudian sindiket mengarahkan mangsa supaya menghubungi nombor telefon yang diberikan.
  3. Apabila dihubungi, mangsa diarahkan supaya pergi ke ATM untuk proses penerimaan wang hadiah.
  4. Mangsa kemudian mengikut segala arahan yang diberikan oleh suspek tanpa membuat semakan dari syarikat penganjur terlebih dahulu kerana terlalu ghairah untuk mendapatkan wang kemenangan.
  5. Setelah membuat semakan, didapati wang hadiah yang dijanjikan tidak diperolehi malah baki wang akaun mangsa berkurangan. Mangsa cuba menghubungi suspek tetapi gagal. 

Apa yang boleh dilakukan untuk mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan seperti diatas?
  • Jangan cepat ‘gelap mata’ dengan tawaran/hadiah yang tidak munasabah.
  • Sentiasa beringat dan berhati-hati dengan setiap tawaran yang diterima
  • Dapatkan pengesahan terlebih dahulu daripada syarikat berkenaan sekiranya benar terdapat penganjuran sesebuah peraduan yang dikendalikan oleh pihak mereka.
  • Jangan Mudah memberi sebarang maklumat perbankan anda kepada pihak lain.


Nota Jejari : Jangan mudah percaya dengan sms sebegitu ya!

No comments:

Post a Comment