Drama Bukan Cinta Monyet

Update : Lagu Dalam Drama Bukan Cinta Monyet

Satu lagi  novel yang diangkat menjadi drama;

"Bukan Cinta Monyet"

Drama adaptasi dari Novel Karya Hasliza Ismail , diterbitkan oleh Zeel Production House dengan tajuk yang sama " Bukan Cinta Monyet". Antara barisan pelakon yang membintangi drama ini ialah Fahrin Ahmad, Nur Risteena, Faradhiya, Zain Saidin, Ziela Jalil, Wan Shamira Oktavia, Kismah Johar dan lain-lain.

Bukan Cinta Monyet berkisar tentang rasa cinta antara adik angkat dan abang angkat , bakal bersiaran di slot Cerekarama , TV3 pada pukul 10 malam , 6hb Julai 2013.

Sinopsis berdasarkan novel seperti dibawah:
Kamal Ilham (Fahrin Ahmad) hadir ke dalam hidup Nurul Suhana (Nur Risteena) dan uminya demi sebuah rahsia yang hanya Kamal Ilham seorang sahaja yang tahu. Hadirnya sebagai anak angkat kepada umi telah membawa sinar bahagia kepada mereka dua beranak.

Lapan tahun Kamal Ilham dan Nurul Suhana terpisah apabila Kamal Ilham melanjutkan pelajaran ke luar negara. Sekembalinya Kamal Ilham ke tanah air, Nurul Suhana yang baru menginjak ke usia tujuh belas tahun mula terusik dengan ketampanan Kamal Ilham. Hati remajanya mula berbunga cinta. Namun, kawan baiknya (Anita) mengingatkannya bahawa perasaan yang sedang memekar di dalam hatinya itu tak ubah seperti cinta monyet. Nurul Suhana pula yakin cintanya itu bukanlah cinta monyet.

Kehadiran Annetalia (Faradhiya) telah merobek hati Nurul Suhana yang menaruh harapan terhadap Kamal Ilham.

Walaupun kedudukan Nurul Suhana agak istimewa di hati Kamal Ilham, dia yakin sayangnya pada Nurul Suhana persis sayang seorang abang kepada adik sahaja. Dia memilih untuk menyedarkan Nurul Suhana dari lena yang indah dengan menyunting Annetalia sebagai tunangnya.

Kecewa dengan pertunangan Kamal Ilham dan Annetalia, Nurul Suhana bertindak menjauhkan diri daripada Kamal Ilham. Tambahan pula dengan kejadian malang yang telah mencacatkan sebahagian tubuhnya. Nurul Suhana tenggelam di lautan kesedihannya yang tidak bertepi.

Mendung tidak selamanya memayungi hidup Nurul Suhana. Alvin (Zain Saidin) hadir menceriakan hari-harinya. Semakin lama hubungan mereka berdua semakin rapat dan mesra. Ini telah menimbulkan perasaan cemburu di dalam hati Kamal Ilham.

Kamal Ilham mula sangsi dengan hatinya sendiri. Benarkah cinta itu boleh wujud tanpa batasan usia? Haruskah dia mengakui yang dirinya mencintai adik angkatnya itu? Bagaimana ingin diluahkan perasaannya itu sedangkan dia telah melukai hati Nurul Suhana. Sudikah Nurul Suhana menerimanya kembali setelah ada pengganti yang jauh lebih baik daripada Kamal Ilham?

Nota Jejari : Dah lama tak tonton cerekarama....

1 comment :

  1. tahu ost cerita ni tak ? nak tajuk lagu diaaa :/

    ReplyDelete

Ad